Jadikanlah UPM Ini Sebagai Rumah Selama Setahun - Pelajar Baharu Asasi Pertanian (ASPer) | PEJABAT NAIB CANSELOR
» ARTIKEL » Jadikanlah UPM ini sebagai rumah selama setahun - Pelajar Baharu Asasi Pertanian (ASPer)

Jadikanlah UPM ini sebagai rumah selama setahun - Pelajar Baharu Asasi Pertanian (ASPer)

SERDANG, 22 Ogos - "Jadikanlah UPM ini sebagai rumah selama setahun," begitulah pesanan yang dititipkan oleh Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu Asasi Pertanian (ASPer) sesi 2023/2024 malam tadi.
 
Katanya, pelajar ASPer harus menggunakan segala ruang dan peluang yang ada di universiti ini sebaiknya selain meraih keputusan yang baik dan cemerlang selama dua semester sebelum melangkah masuk ke pengajian ijazah sarjana muda.
 
 
"Para pelajar ASPer perlu menyasarkan sekurang-kurangnya 3.75 CGPA sepanjang setahun iaitu dua semester bagi memudahkan pelajar menyambung pengajian seterusnya di sini," ujarnya.
 
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pelajar ASPer yang memilih UPM sebagai destinasi utama melanjutkan pengajian selepas tamat SPM.
 
Pengarah ASPer, Prof. Madya Dr. Marina Mohd Top @ Mohd Tah berkata asas dalam bidang sains dan pertanian menjadi titik permulaan sebelum pelajar ASPer melangkah ke program Ijazah.
 
Pihaknya akan berusaha menjaga kebajikan pelajar ASPer sentiasa terjaga dan memastikan para pelajar boleh menggunakan peluang dan ruang untuk meningkatkan kemahiran diri selain berusaha bersungguh-sungguh demi masa hadapan yang lebih terjamin.
 
 
"Di UPM, pelbagai saluran yang disediakan bagi membantu dan membimbing pada pelajar agar dapat mencapai kecemerlangan menyambung pengajian lebih tinggi," katanya.
Sementara itu, bacaan ikrar pelajar telah diketuai oleh Hasif Farhan Hamzah.

Tarikh Input: 29/08/2023 | Kemaskini: 29/08/2023 | nazryhisham

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT NAIB CANSELOR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6001
+603 9769 2016
SXEcCAo~