| PEJABAT NAIB CANSELOR

Ucapan Ambang Tahun Baharu 2019 oleh YBhg. Datin Paduka Dato' Naib Canselor UPM

Ringkasan Artikel

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera Warga UPM yang dikasihi, Pada saat kita berada di ambang tahun 2019 ini, terasa insaf betapa singkatnya masa yang dipinjamkan oleh Allah S.W.T kepada kita.













Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Warga UPM yang dikasihi,

Pada saat kita berada di ambang tahun 2019 ini, terasa insaf betapa singkatnya masa yang dipinjamkan oleh Allah S.W.T kepada kita. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin serta limpah rahmat-Nya, kita masih berada di kampus hijau ini, diberikan kesihatan, kudrat dan ilham untuk meneruskan khidmat dan sumbang bakti kepada universiti yang dikasihi ini. 

Keluarga besar Universiti Putra Malaysia (UPM), iaitu staf, pelajar, termasuklah para alumni, pesara dan pihak berkepentingan dengan UPM tidak kira yang dekat atau jauh, telah memainkan peranan besar dalam memastikan kecemerlangan UPM. Pelbagai kejayaan UPM dapat dilihat di pelbagai media elektronik dan media sosial. Yakinlah bahawa setiap anda semua telah memainkan peranan menjalankan amanah BERILMU BERBAKTI menjadikan UPM terlihat di luar sana.

Kita harus menyegarkan fungsi dan peranan universiti sebagai taman ilmu dan pemikiran sebagai asas penting dlm melonjakkan kecemerlangan. Ilmu perlu disampaikan dan dikongsikan untuk manfaat rakyat, mampu mengangkat martabat insan kepada yg lebih baik, di samping mengimbangi tuntutan dunia dan kebahagian di akhirat. Saya percaya atas semangat cinta kepada pekerjaan kita, maka kita semua akan terus bersemangat mencapai banyak lagi kecemerlangan demi kesejahteraan UPM, masyarakat dan negara, InsyaAllah.

Dengan penghayatan nilai-nilai IHSAN sebagai tonggak kepada  kecemerlangan, marilah kita bersama-sama menghadapi tahun 2019 dengan lebih bersemangat. Sudah tentu, kita akan sama-sama berusaha untuk meletakkan universiti kita di kedudukan 200 universiti terbaik dunia sepertimana yang dihasratkan dalam PG200. 

Namun, dalam kekangan ketidaktentuan ekonomi global, sudah pasti perjalanan kita ini akan berdepan dengan pelbagai cabaran. Sepertimana yang kita sedia maklum, sejak beberapa tahun lepas terdapat pengurangan bajet di mana kurangnya pembiayaan daripada kerajaan untuk pengurusan dan operasi universiti. Namun, kita berjaya melestarikan pengurusan kewangan universiti, di mana semua telah secara strategik meningkatkan usaha untuk mengurangkan kebergantungan terhadap dana kerajaan, dan UPM amat serius mengambil langkah menjana sendiri pendapatan. Saya berharap agar warga UPM meneruskan budaya perbelanjaan berhemah sejajar dengan pengurangan peruntukan kewangan universiti. 

Akhir kata, jutaan terima kasih kepada seluruh warga UPM yang telah bersama-sama menggembleng tenaga serta mencurah bakti sepanjang tahun 2018. Saya percaya dengan penggembelengan dan sumbangan idea, tenaga dan kreativiti semua pihak, UPM akan berjaya mengharungi 2019 dengan lebih cemerlang. Syabas dan Tahniah untuk semua! Didoakan juga agar kita semua diberi kesihatan yang baik serta limpahan taufik dan hidayah daripada Allah SWT.

Sekian. Selamat Tahun Baru 2019.

 “BERILMU BERBAKTI”

PROF. DATIN PADUKA DATO’ DR. AINI IDERIS, FASc
DSIS, DPMK, PSK, KMN
Naib Canselor

 

​

SXESQAg~